KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi amaran keras bahawa penganjuran Warzone World Championship (WWC 2025) boleh disekat sepenuhnya kerana gagal mematuhi Kod Sukan Selamat dan tidak mendapat kelulusan rasmi kerajaan.
Menterinya, Hannah Yeoh menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak membuat laporan polis sekiranya penganjur berdegil meneruskan acara itu tanpa kebenaran yang sah.
Beliau mendedahkan, semakan kementerian mendapati WWC 2025 bukan sahaja tidak memperoleh kelulusan, malah tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan rasmi kepada KBS setakat ini, seperti yang diwajibkan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum acara berlangsung.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan setiap Kod Sukan Selamat mesti dipatuhi.
“Tiada permohonan pun dibuat kepada KBS, jadi mana mungkin mereka boleh teruskan acara antarabangsa tanpa sanction kerajaan,” katanya selepas melancarkan Program Realiti Jaguh Rakan Muda di 1 Utama, Damansara, hari ini.

Tegasnya, video tular memaparkan aksi kanak-kanak bertindak agresif ketika sesi face-off jelas melanggar dasar Sukan Selamat kerana mengandungi unsur keganasan yang tidak wajar.
“Jumlah tontonan bukan ukuran kejayaan, banyak kandungan negatif pun tinggi tontonannya, tapi itu tidak bermakna sesuai untuk dipromosikan,” katanya sambil menegaskan tanggungjawab utama KBS ialah melindungi generasi muda.