Penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman disahkan mengalami gegaran otak susulan perlanggaran dengan penyerang Terengganu FC (TFC), Romel Morales dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Insiden berkenaan berlaku pada babak kedua perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, menyebabkan Sikh Izhan terpaksa menerima rawatan sebelum dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Selangor FC menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi kelab hari ini memaklumkan pemain berusia 24 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan sudah kembali menyertai pasukan bagi menjalani pemantauan serta rawatan susulan.
Kelab itu turut merakamkan penghargaan kepada pegawai perubatan perlawanan serta pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Zainal Abidin (HSZA) atas tindakan pantas ketika insiden berkenaan berlaku.
Dalam perlawanan tersebut, Sikh Izhan memainkan peranan penting buat Selangor apabila beberapa kali menggagalkan percubaan berbahaya barisan serangan TFC, sebelum terpaksa meninggalkan padang selepas insiden berkenaan.
Tempatnya kemudian diambil alih penjaga gol, Azim Al Amin Kamaruddin pada minit ke-77 untuk meneruskan tugasan di bawah palang gol Selangor.
Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon sebelum ini berkata beliau menerima makluman bahawa Sikh Izhan berada dalam keadaan sedar ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Saya harap tiada apa-apa perkara buruk berlaku kepada dia dan kita bersama-sama mendoakan keselamatannya,” kata Pan Gon selepas perlawanan.
Selangor bagaimanapun berjaya mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Terengganu dalam aksi berkenaan, dengan ketiga-tiga gol hadir pada babak kedua.