Kredit Gambar: MSN Malaysia
Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan komitmen untuk terus memberikan sokongan penuh kepada Datuk Azizulhasni Awang dalam usaha beliau mempersiapkan diri menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MSN berkata pendirian itu sudah dinyatakan kepada Azizulhasni menerusi beberapa siri pertemuan sebelum dan selepas Sukan Komanwel Glasgow, termasuk perbincangan yang membabitkan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin serta pegawai kanan badan berkenaan.
Malah, MSN turut mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia pada 7 Julai lalu berhubung Olympic Pathway, termasuk keperluan Azizulhasni sebagai peneraju utama dalam usaha mengumpul mata kelayakan Olimpik.
Dalam pertemuan pada 13 Ogos bersama Ketua Program Road to Gold (RTG), Akmal Ahmad Zainuddin, Ketua Program Podium, Halif Asro Ramzi Sulaiman dan Ketua Cawangan Sains Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Mohd Izham Mohamad, Azizulhasni memaklumkan bahawa beliau sudah mula merancang persiapan ke Olimpik 2028, namun belum memuktamadkan perancangannya.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah keperluan tambahan dalam aspek sains sukan dan perubatan, kesinambungan penggunaan fasiliti MSN serta ISN dan cadangan program latihan secara hibrid yang melibatkan Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.
MSN menjelaskan semua permohonan tersebut, termasuk beberapa permintaan tambahan, telah dipersetujui dan cadangan pemberian geran kepada pelumba berpengalaman itu akan diteruskan seperti amalan sebelum ini. MSN turut bersetuju menanggung penyertaan beliau dalam kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia secara berpasukan.
Menteri Belia dan Sukan yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN, Dr Mohammed Taufiq Johari, turut membawa perkara berkaitan perancangan dan keperluan Azizulhasni ke mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos, dengan sokongan tersebut mendapat persetujuan semua ahli lembaga.
Susulan itu, MSN menghantar emel kepada Azizulhasni pada 27 Ogos bagi membolehkan perbincangan dimuktamadkan menerusi penyediaan pelan lengkap merangkumi program latihan dan pertandingan, sasaran prestasi, laluan kelayakan Olimpik, keperluan jurulatih serta pasukan sokongan, sains sukan, perubatan, fasiliti dan anggaran perbelanjaan.
MSN pada masa sama meluahkan rasa terkejut terhadap kenyataan jurulatih John Beasley yang mendakwa tiada perbincangan mengenai perancangan masa depan Azizulhasni, sambil menjelaskan bahawa pengumuman program latihan Olimpik hanya akan dibuat bersama Azizulhasni selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, pada 14 hingga 18 Oktober 2026. MSN menegaskan komitmen dan sokongannya kepada wira berbasikal negara itu kekal teguh.