SRI Pahang FC akan mengemukakan rayuan bagi membatalkan penggantungan kapten mereka, Kpah Sherman, menjelang aksi final Piala Malaysia.
Ketua jurulatih, Fandi Ahmad, mengesahkan bahawa pihaknya akan membuat rayuan selepas penyerang Liberia itu menerima kad kuning dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Sabah.
Kad kuning tersebut menyebabkan Sherman terlepas aksi final menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada April nanti selepas mengumpul dua kad kuning sepanjang kejohanan.
“Kpah telah menerima dua kad kuning, jadi kami akan membuat rayuan terhadap penggantungannya. Kami akan meneliti semula rakaman video insiden pada minit ke-70 ketika dia dilayangkan kad kuning.
“Dia telah bermain sejak awal kejohanan dan dalam setiap perlawanan, jadi adalah satu kerugian jika dia tidak dapat beraksi di final. Saya pasti akan berusaha untuk merayunya,” kata Fandi.
Pahang berjaya melangkah ke final Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun selepas menewaskan Sabah 2-1 dalam perlawanan separuh akhir kedua, sekali gus mara dengan agregat 3-2.
Sherman muncul wira buat skuad Tok Gajah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 di Stadium Temerloh pada Ahad.
FOTO : Sri Pahang FC