Pelumba CKJ Racing, Farres Putra Mohd Fadhil meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika saingan kelas CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, semalam.
Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan pemergian pelumba berkenaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Insiden berlaku seawal pusingan pertama perlumbaan apabila Farres Putra terbabit kemalangan di Selekoh 3 litar berkenaan.
Pelumba berkenaan menerima rawatan kecemasan daripada pasukan perubatan di litar sebelum dikejarkan ke Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, usaha pasukan perubatan untuk menyelamatkan nyawanya tidak berhasil apabila Farres Putra disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Walaupun segala usaha terbaik dilakukan oleh pasukan perubatan yang merawatnya, beliau disahkan meninggal dunia,” menurut kenyataan MAM.
Susulan kejadian tragis itu, perlumbaan ProAm yang dijadualkan berlangsung selepas saingan berkenaan turut dibatalkan sebagai tanda menghormati pemergian pelumba terbabit.
MAM turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, pasukan CKJ Racing serta seluruh komuniti sukan permotoran Malaysia yang terkesan dengan kehilangan berkenaan.
“Keadaan dan punca sebenar insiden akan diteliti mengikut prosedur sukan dan keselamatan yang ditetapkan,” kata MAM sambil meminta semua pihak menghormati privasi keluarga Allahyarham Farres Putra ketika mereka melalui detik sukar ini.