Malaysian Football League (MFL) tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa isu yang dibangkitkan sekumpulan penyokong menerusi satu memorandum kepada kelab-kelab Liga Malaysia.
MFL dalam kenyataan terbaharunya menegaskan pihaknya menghormati hak mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan serta mengemukakan persoalan berkaitan pengurusan dan penganjuran Liga Malaysia.
Badan pengelola Liga Malaysia itu menjelaskan isu pertama membabitkan status pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan yang disifatkan sebagai dua perkara berbeza dari segi status serta proses pengesahan.
Menurut MFL, pemain yang memiliki kewarganegaraan Malaysia dan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, tertakluk kepada peraturan pendaftaran yang sedang berkuat kuasa. Ketetapan itu dinyatakan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, selain sistem MYPAS dan FIFA CONNECT.
MFL turut menjelaskan perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada kelab menerusi pekeliling bertarikh 12 Jun 2025 serta Majlis Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga Malaysia 2025-2026 pada 29 April 2026. Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, pemain yang dipersoalkan merupakan warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan sah, menyebabkan mereka didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Bagi musim 2026-2027 pula, MFL menjelaskan keputusan menambah lima kuota pendaftaran pemain tempatan dibuat Ahli Lembaga Pengarah selepas menerima permohonan daripada Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT). Namun, tambahan kuota itu kemudiannya dibuka kepada semua kelab bagi memastikan keseragaman dan keseimbangan dalam kalangan pasukan yang bertanding.
Keputusan tersebut dibuat ketika jendela pendaftaran pertama masih dibuka sehingga 3 September 2026, sekali gus memberikan semua kelab tempoh mencukupi untuk menggunakan tambahan kuota mengikut keperluan masing-masing.
MFL turut memberi penjelasan berhubung isu pendaftaran Kuala Lumpur City FC selepas kelab itu sebelum ini berdepan kes FIFA yang menghalang pendaftaran pemain baharu. Kelab berkenaan hanya mempunyai 12 pemain yang didaftarkan dalam sistem MyPAS pada 22 Ogos 2026 ketika sepatutnya memenuhi jumlah minimum yang ditetapkan.
Kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan dua bekas pemain import menyebabkan KL City tidak dapat mendaftarkan pemain yang mencukupi untuk menggantikan pemain yang tidak dapat beraksi akibat jangkitan influenza. Susulan kegagalan turun beraksi menentang Negeri Sembilan FC, MFL memutuskan Negeri Sembilan diberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata, manakala KL City didenda RM50,000 serta diarahkan membayar ganti rugi dan kos berkaitan.
Bagaimanapun, selepas KL City mengemukakan bukti penyelesaian tunggakan pada 24 Ogos, MFL meluluskan permohonan khas untuk kelab itu mendaftarkan minimum 12 pemain bagi perlawanan menentang Kuching City FC pada 26 Ogos. MFL menegaskan kelulusan itu dibuat berdasarkan keadaan dan fakta khusus kes berkenaan dan tidak bermaksud syarat pendaftaran pemain Liga Malaysia dipinda atau diketepikan secara umum.