PASUKAN Johor Darul Ta’zim FC (JDT) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika menentang Terengganu FC dalam aksi minggu ke-22 Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.
Skuad Harimau Selatan turun dengan barisan utama termasuk penjaga gol, Syihan Hazmi serta penyerang berbisa, Bergson da Silva di jentera serangan manakala Sang Penyu pula mempertaruhkan Rahadiazli Rahalim di posisi penjaga gol dengan Careca mengetuai jentera serangan, manakala Shahrul Nizam menggalas tugas sebagai kapten.
JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi Bergson yang tenang menyempurnakan peluang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Selepas itu, JDT terus mengasak untuk menambah jaringan, namun Terengganu turut memberikan tentangan sengit dengan beberapa percubaan berbahaya yang gagal menemui sasaran.
Usaha pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Ehsoni Panshanbe menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36 untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti permainan dengan JDT lebih banyak menguasai serangan, namun gagal menembusi benteng pertahanan pelawat yang dikawal kemas oleh Rahadiazli.
Terengganu hampir mencipta kejutan pada penghujung permainan menerusi serangan balas pantas, namun percubaan tersebut tidak menepati sasaran.
Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam saingan Liga Super musim ini.