BEKAS pengendali skuad kebangsaan Harimau Malaya, Kim Pan-gon, secara rasmi bakal kembali ke Malaysia selepas diumumkan sebagai Ketua Jurulatih baharu Selangor FC.
Jurulatih berusia 57 tahun itu membuka lembaran baharu dalam kariernya apabila diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan Gergasi Merah Kuning dalam usaha memburu kejayaan domestik dan mara ke pentas Asia musim hadapan.
Dalam satu kenyataan rasmi, Selangor FC mengesahkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai pengendali skuad utama, manakala bekas ketua jurulatih interim, Christophe Gamel, dilantik sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC berkuat kuasa serta-merta.
“Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) ingin mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad utama Gergasi Merah. Bekas Ketua Jurulatih Interim Christophe Gamel telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC yang baharu,” menurut kenyataan kelab itu.
Pengurusan Selangor FC turut menyuarakan keyakinan bahawa kehadiran Kim Pan-gon mampu mengembalikan semula kegemilangan pasukan berbekalkan pengalaman luas serta rekod pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Berbekalkan pengalaman yang luas serta pencapaian yang cemerlang, kelab percaya Kim Pan-gon akan memikul tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih skuad utama Gergasi Merah dengan jayanya serta mengemudi pasukan Selangor ke tahap yang lebih tinggi,” tambah kenyataan itu.