Air mata kekecewaan selepas impian ke Piala Asia Wanita B-17 2027 tidak kesampaian bukan noktah buat Malayan Tigress, sebaliknya permulaan untuk mereka bangkit dengan sokongan dan pelaburan lebih besar dalam pembangunan bola sepak wanita negara.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menitipkan kata-kata semangat kepada skuad muda negara selepas menyaksikan mereka tewas 0-4 kepada India dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Mengakui keputusan itu mengecewakan, Hannah berkata pemain sendiri pastinya lebih merasai kepedihan selepas berjuang membawa cabaran Malaysia, namun usia muda mereka memberi ruang untuk belajar, memperbaiki kelemahan dan kembali lebih kuat.
“Kepada skuad muda Malayan Tigress, terima kasih kerana berjuang untuk Malaysia. Jangan patah semangat. Anda masih muda dan perjalanan masih panjang. Banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman ini,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Di sebalik kegagalan itu, Hannah berharap nasib pemain muda wanita tidak terhenti setakat satu kempen, sebaliknya pembangunan mereka terus diberikan perhatian melalui pelaburan lebih besar, terutama di peringkat akar umbi.
“Saya berharap pelaburan dalam pembangunan bola sepak wanita, khususnya di peringkat junior, dapat terus dipertingkatkan,” katanya.
Hannah turut melihat kehadiran penyokong pelbagai kaum yang memenuhi stadium untuk memberikan sokongan kepada Malayan Tigress sebagai petanda positif, sekali gus menunjukkan skuad muda negara mempunyai tempat di hati peminat bola sepak tempatan.
Malayan Tigress sebelum itu membuka kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Syria dan membelasah Iraq 4-0, namun kekalahan kepada India pada perlawanan terakhir menutup peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.