Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, percaya pemahaman terhadap corak permainan Pohang Steelers mampu membantu Harimau Selatan menghadapi cabaran dalam aksi Liga peringkat Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026/27, hari ini.
Pasukan Harimau Selatan bakal berkunjung ke Korea Selatan dengan misi memburu kemenangan pertama selepas sekadar seri 1-1 menentang Buriram United dalam aksi pembukaan pada 15 September lalu.
Mengakui Pohang bukan lawan mudah, Xisco menegaskan persiapan rapi perlu diterjemahkan menerusi disiplin permainan dan keupayaan pemain mengawal setiap situasi sepanjang perlawanan.
“Kami tahu perlawanan ini sukar kerana kami tahu dengan tepat apa yang akan dilakukan oleh mereka,” katanya.
Jurulatih dari Sepanyol berkenaan turut menekankan kepentingan ketepatan hantaran serta kemampuan barisan pertahanan menangani gerakan pantas lawan, khususnya di bahagian sayap.
“Esok (hari ini) kami akan cuba memberikan 100 peratus kemampuan yang ada dalam setiap situasi, termasuk pelbagai jenis hantaran.
“Kami juga perlu memahami kepantasan mereka ketika melakukan gerakan di lorong sisi dan memastikan kami mampu mengawal situasi tersebut,” tambahnya.
JDT perlu memberikan perhatian terhadap aspek pertahanan dan penyudah bagi memastikan mereka tidak mensia-siakan peluang yang terhidang, terutama ketika berdepan pasukan yang mampu menghukum sebarang kesilapan.
Pohang Steelers pula hadir dengan misi bangkit selepas tewas 1-3 kepada Beijing FC dalam aksi pertama, sekali gus menjadikan pertemuan menentang JDT penting buat kedua-dua pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan peringkat liga.
Bagi Harimau Selatan, cabaran di Korea Selatan itu menuntut mereka memanfaatkan persiapan yang dilakukan bagi memburu keputusan positif, selain meningkatkan peluang mengumpul mata dalam kempen ACLE musim ini.