Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menyeru semua pihak dalam ekosistem sukan negara supaya menghormati peranan pengamal media serta mengamalkan komunikasi profesional ketika berdepan perbezaan pandangan dan kritikan.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap, berkata media bukan sekadar melaporkan keputusan pertandingan, malah berperanan menyampaikan maklumat dan perkembangan yang membantu membentuk pemahaman masyarakat terhadap sukan negara.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, setiap individu termasuk atlet, jurulatih, pegawai dan pentadbir sukan berhak menyuarakan pendapat serta memberikan maklum balas terhadap laporan media. Bagaimanapun, perbezaan pandangan perlu ditangani secara matang tanpa kenyataan yang boleh menghina individu atau merendahkan profesion kewartawanan sukan.
SAM menegaskan bahawa laporan media profesional perlu berasaskan fakta dan bukti yang diperoleh melalui temu bual, kajian, semakan maklumat serta rujukan kepada sumber berkaitan. Sekiranya terdapat kesilapan fakta, pihak yang terlibat disaran mengemukakan bukti supaya pembetulan dapat dibuat dengan sewajarnya.
Norismadi berkata ketepatan maklumat, konteks dan prinsip keadilan perlu terus menjadi keutamaan pengamal media, meskipun mereka berdepan tuntutan untuk menyampaikan berita dengan pantas. Setiap laporan juga perlu mengambil kira perspektif pihak berkaitan bagi mengelakkan salah faham.
Sehubungan itu, SAM berpandangan bahawa sebarang ketidakpuasan hati terhadap laporan media wajar disalurkan secara terus kepada individu atau organisasi media berkenaan. Pendekatan itu membolehkan penjelasan diberikan dan isu diteliti secara lebih adil berbanding kritikan umum yang boleh menjejaskan persepsi terhadap seluruh pengamal media sukan.
“Semua pihak perlu menghormati penulisan, pandangan dan kritikan yang dikemukakan secara profesional. Jika ada perkara yang dipertikaikan, kemukakan fakta dan bukti untuk dibincangkan. Kritikan boleh dibuat, tetapi biarlah berfokus kepada isu dan disampaikan dengan berhemah, bukannya sehingga merendahkan martabat atau menghina individu,” katanya.
SAM turut menjelaskan bahawa menghormati media tidak bermaksud semua pihak perlu bersetuju dengan setiap laporan atau pandangan yang diterbitkan. Sebaliknya, hubungan profesional yang sihat memerlukan kesediaan untuk menerima kritikan, memberikan penjelasan dan mengiktiraf hak pihak lain untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab.
Persatuan itu juga menyatakan kesediaan untuk menjadi platform perbincangan bagi membantu merapatkan perbezaan antara pihak berkepentingan dalam sukan, termasuk atlet, jurulatih, persatuan, agensi kerajaan, institusi sukan dan rakan penaja.
SAM berharap semua pihak terus bekerjasama berlandaskan fakta, komunikasi berhemah dan sikap saling menghormati demi memperkukuh ekosistem sukan negara serta memastikan setiap pertikaian dapat ditangani melalui perbincangan yang membina.