TIGA pingat disasarkan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) pada temasya Sukan SEA 2023, Kemboja yang akan membuka tirainya Mei ini.
Sasaran masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa bagaimanapun lebih rendah berbanding pencapaian skuad wushu di temasya Sukan Sea Hanoi, namun dianggap realistik berdasarkan format baharu pertandingan yang lebih mencabar.
Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, semua pingat yang disasarkan skuad negara di Kemboja kali ini, menerusi acara taolu.
“Pada temasya Sukan Sea Phnom Penh, 14 pingat emas ditawarkan menerusi acara Taolu manakala enam dalam Sanda. Peluang kita lebih cerah dalam Taolu memandangkan atlet kita tidak menjalani latihan pusat terutamanya acara Sanda sepanjang pandemik Covid-19.
“Jadi kita lebih yakin meraih pingat dalam acara Toulu memandangkan semasa Covid-19 atlet menjalankan latihan secara individu dan berhubung dengan jurulatih.
“Kita juga ada atlet berusia 31 tahun Wong Weng Son yang juga juara dunia dan mampu memberikan cabaran di peringkat antarabangsa,” katanya, selepas sesi pemilihan atlet wushu negara ke temasya dwitahunan itu hari ini.
Bagaimanapun, senarai lapan atlet yang bakal dipilih mewakili negara di Sukan Sea Kemboja, hanyba akan dimumumkan Isnin ini.
Ujar Kim Fatt lagi, pihaknya turut menyasarkan satu perak dan satu gangsa menerusi acara yang sama menerusi gandingan atlet baru dan berpengalaman.
Untuk rekod, skuad negara meraih dua emas satu perak dan dua gangsa masing dari acara Taolu lelaki dan wanita pada temasya di Hanoi.
Dalam perkembangan lain, Kim Fatt turut berkongsi perkembangan terkini WFM yang sedang mendapatkan khidmat jurulatih luar negara dari China untuk mengendalikan program podium sukan wushu.
Jelasnya, proses pemilihan jurulatih itu sedang dijalankan dan dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.
“Saya tidak boleh dedahkan sama ada jurulatih lelaki atau wanita. Kami sekarang dalam peringkat pertama dalam menjalankan pemilihan.
“Kami sudah berhubung dengan wakil di Beijing dan mereka sudah berjumpa dengan calon yang sesuai, kerana agak tergendala kerana pandemik Covid19 yang melanda negara itu
“Jadi perlu sedikit masa untuk selesaikan perkara itu dan kami akan dijangka akan datang Malaysia pada bulan Mac,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kehadiran jurulatih dari China itu lebih kepada menggalas tanggungjawab mengemudi atlet wushu dalam semua acara di bawah permerhatian ketua jurulatih kebangsaan, Tan Ching Fung sebagai persiapan ke Sukan Asia Hangzhou, China, September depan.