Kredit Gambar: FAM
Kedudukan skuad bola sepak wanita kebangsaan Malaysia terus menjadi perhatian apabila Malayan Tigress dilaporkan merosot ke tangga ke-101 dalam ranking dunia FIFA.
Malaysia mencatatkan kejatuhan sebanyak enam anak tangga daripada kedudukan ke-95, sekali gus menyaksikan skuad negara terkeluar daripada kelompok 100 pasukan wanita terbaik dunia.
Penurunan ini hadir susulan prestasi yang kurang memberangsangkan apabila skuad negara hanya merekodkan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.
Keputusan tersebut pastinya menimbulkan persoalan mengenai konsistensi serta kemampuan pasukan untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa.
Kekecewaan turut dirasai apabila Malayan Tigress gagal melangkah ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala ASEAN Wanita pada Julai selepas tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, kemenangan tipis 1-0 ke atas Arab Saudi dalam perlawanan terakhir memberikan sedikit sinar harapan buat bola sepak wanita negara.
Keputusan itu membuktikan bahawa skuad negara masih berpotensi untuk bangkit dan memperbaiki prestasi pada masa akan datang.
Kini, cabaran sebenar buat Malayan Tigress adalah untuk mengekalkan momentum positif, meningkatkan konsistensi permainan serta kembali mencipta keputusan yang membanggakan.