Kredit Gambar: ONE Championship
Atlet ONE Championship, Rifdean Masdor tampil memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosial baru-baru ini, sambil mengakui gagal mengawal emosi ketika berdepan tekanan.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan, Rifdean mengakui tindakannya mengeluarkan kenyataan berkenaan dibuat ketika keadaan emosinya kurang stabil sehingga menjejaskan pertimbangan sebelum berkongsi sesuatu kepada khalayak umum.
Beliau bagaimanapun menegaskan tekanan emosi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membenarkan tindakannya, terutama sebagai atlet profesional yang membawa nama diri, keluarga, pasukan dan negara.
“Sebagai seorang atlet profesional yang membawa nama diri, keluarga, pasukan serta negara, saya seharusnya menunjukkan kematangan, disiplin dan sikap yang lebih bertanggungjawab, bukan sahaja di dalam gelanggang tetapi juga di luar gelanggang,” katanya.
Rifdean turut menyatakan kekesalan sekiranya kenyataan berkenaan menyinggung perasaan, menimbulkan salah faham atau mengecewakan mana-mana pihak, khususnya mereka yang selama ini sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan kariernya.
Beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya itu dan menyifatkan kejadian berkenaan sebagai pengajaran penting dalam kehidupan serta perjalanan kariernya sebagai atlet.
Dalam masa sama, Rifdean berjanji akan berusaha mengurus tekanan dan emosi dengan lebih baik bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang pada masa hadapan.
“Saya berharap agar diberikan ruang dan peluang untuk memperbaiki kelemahan diri serta terus membuktikan komitmen saya sebagai seorang atlet yang lebih matang, berdisiplin dan profesional,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Rifdean sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan selain berterima kasih atas teguran, nasihat dan sokongan yang diberikan kepadanya.