KAPTEN Pasukan Selangor FC, Brendan Gan memuji karakter dan sikap matang pemain-pemain Gergasi Merah biarpun diasak bertubi-tubi pasukan Terengganu FC namun mereka berjaya menyerap segala tekanan dengan ketenangan dalam aksi menarik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.
“Saya rasa ia hanya kerana kepercayaan tinggi yang dimiliki para pemain Selangor FC. Kita ada skuad muda. Pada mulanya, mereka agak gugup tetapi pemain bijak memastikan bola sentiasa berada dalam kawalan pemain,” jelasnya.
Jelasnya, perlawanan malam tadi merupakan suatu yang amat sukar terutama dengan corak permainan pasukan tuan rumah yang bermain secara high pressing seawal tiupan wisel babak pertama dibunyikan.

ARTIKEL BERKAITAN:
“Saya memang mahu Caion ambil sepakan penalti itu”
“Saya bukan superhuman” – Brendan Gan
“Tentunya, ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan lebih-lebih lagi ketika berlawan dengan pasukan sebaik Terengganu. Mereka mengamalkan corak high pressing yang sangat baik,” katanya.
Brendan menjelaskan pasukan Selangor FC akan berehat secukupnya dan kembali menjalani sesi latihan Rabu ini menjelang aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir piala tertua di Malaysia itu.
“Rehat sebanyak yang mungkin. Bersedia untuk perlawanan besar seterusnya. Diharapkan penyokong kita akan turun dan membakar suasana di Stadium Bukit Jalil nanti,” ujar Brendan.

Dalam pada itu, Brendan menyedari kehebatan pasukan Johor Darul Ta’zim dalam tempoh sepuluh tahun belakangan ini.
Justeru, sebagai kapten dia telah bersedia untuk menamatkan misi piala ke-34 buat pasukan Selangor sekaligus melayakkan diri ke pentas Asia musim hadapan.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Johor adalah sebuah pasukan yang sangat kuat dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini. Ia bukan mudah tetapi kita akan mencurahkan segala-galanya. Sebarang kemungkinan boleh terjadi,” kongsinya.