BEKAS penjaga gol Kelantan The Real Warriors FC, Khatul Anuar Md. Jalil, tampil mendedahkan bahawa Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) masih belum menyelesaikan tunggakan gaji yang didakwa tertunggak sejak musim lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pematuhan kelab itu terhadap peraturan kewangan liga.
Sebelum ini, KTRW telah dikenakan tiga kali denda berjumlah RM70,000 oleh First Instance Body (FIB) selain dikenakan sekatan perpindahan pemain, susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.
Susulan hukuman itu, pihak pengurusan KTRW diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2025 untuk menyelesaikan semua bayaran tertunggak, dengan amaran bahawa tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya kelab tersebut terus gagal mematuhi arahan.

Khatul Anuar mendedahkan beliau masih belum menerima sebarang penyelesaian daripada pihak KTRW. (Tangkap Layar: IG Story Khatul Anuar)
Namun, Khatul yang kini bermain bersama pasukan Penang FC mendedahkan beliau masih belum menerima sebarang penyelesaian daripada pihak KTRW walaupun tempoh akhir yang ditetapkan telah berakhir. Pemain itu turut memuat naik logo kelab dan salinan surat aduan kepada FIB menerusi akaun X miliknya sebagai tanda kekecewaan terhadap situasi berkenaan.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain KTRW, Afzal Akbar — kini bersama Kedah FA — turut menyuarakan perkara sama, namun sebagai sokongan kepada pendedahan yang dibuat Khatul. Afzal menggesa agar FIB dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertindak lebih tegas selaras dengan peraturan sedia ada.

Tangkap Layar IG Story Afzal Akbar
“Sehingga pada tarikh terakhir 31 Disember 2025, tiada bayaran gaji tertunggak dijelaskan oleh pihak pasukan. Ini satu bentuk pembulian kepada para pemain dan jurulatih,” tulis Afzal menerusi Instagram Story sambil merujuk Artikel 14(1)(e) Peraturan FFP MFL musim 2025–2026.
Pendedahan terbaharu ini dijangka menambah tekanan terhadap pengurusan KTRW, yang kini berada dalam fasa kritikal menjelang pembukaan jendela perpindahan kedua Liga Super tidak lama lagi.