ARKITEK tengah kebangsaan, Brendan Gan Seng Ling bersyukur kerana dipilih Kim Pan-gon untuk berada dalam senarai barisan 25 pemain yang bakal membawa cabaran negara di King’s Cup.
Jelas Brendan, dia menggemari corak permainan yang diterapkan Pan-gon dan yakin dapat mempamerkan aksi terbaik jika diberi peluang tampil dalam kesebelasan utama pasukan.
Tambahnya, penampilan di Selangor FC mampu menjadi suntikan untuk terus menyengat dalam aksi bersama skuad kebangsaan meskipun Gergasi Merah gagal menghasilkan keputusan, mereka tampil dengan persembahan yang baik.
“Ia satu penghargaan kepada saya untuk kembali bersama pasukan kebangsaan. Selepas banyak halangan yang terpaksa ditempuhi, kerja keras di belakang tabir. Kita harap dapat buat baik dalam King’s Cup nanti.
“Saya selalu lihat perlawanan mereka sebelum ini. Saya pergi Bukit Jalil semasa melawan Bahrain, mereka bermain high pressing game dan saya sangat suka apa bermain dengan cara tersebut.
“Saya tidak melihat semua ini. Apa yang saya mahu lakukan adalah lakukan yang terbaik buat diri saya. Lakukan terbaik untuk negara. Saya bukan superhuman, saya hanya manusia. Semua orang menghadapi masa sukar mampu bangkit dan beraksi dengan baik.
“Saya hanya berikan yang terbaik di setiap perlawanan. Kita bermain dengan baik di Selangor tetapi keputusan tidak memihak kepada kami,” ujarnya ketika ditemui media semasa sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat.