PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus mendapat perhatian ramai apabila tampil menawarkan diri dalam program Podcast Keluar Sekejap.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam laman Instagramnya memuatnaik berkenaan satu tangkap layar komen Tunku Ismail pada Selasa.
Program Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan bersama Khairy, yang juga bekas Menteri Kesihatan dan Shahril Hamdan ini membicarakan topik-topik hangat politik Malaysia, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa tempatan dan global.

“Baik ajak aja masuk Keluar Sekejap ni. No holds bar. Kasi gegar sikit negara ni,” tulis TMJ dalam komennya itu.
Khairy membelas reaksi “Alamak” dalam story tersebut tanda terkejut dengan penawaran diri Tunku Ismail ke programnya itu.
Hubungan mesra tidak perlu diperkatakan lagi kerana Khairy dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab JDT dan juga Penasihat Belia Johor awal tahun ini.

Walaupun podcast ini lebih kepada perbincangan mengenai keadaan semasa politik negara, pastinya ramai ingin melihat jika TMJ dijemput ke dalam program itu.
Kemungkinan besar selain daripada membicarakan aspek keseluruhan isu semasa negara, pastinya isu-isu industri sukan tanah air khususnya isu bola sepak akan dilontarkan dalam program ini.
Seperti sedia maklum, isu bola sepak Malaysia 1001 warna warni sentiasa berada di minda TMJ apatah lagi Baginda sentiasa membei idea-idea bernas.

Barangkali ini boleh menjadi medan terbaik TMJ dalam membawa dimensi baharu kepada rakyat kerana diketahui cukup cekap dalam urusan pentadbiran sukan berdasarkan rekod cemerlang yang pernah dicapai termasuk di kelab JDT.
Sekiranya jemputan tersebut diterima, pastinya kita bakal menyaksikan perbincangan lebih hangat diadakan ketika sesi podcast yang kini semakin mendapat perhatian seluruh negara.