Kedah Eagles dan Bomba Fighters meneruskan kemaraan ke separuh akhir STL 2026 Divisyen 1 selepas masing-masing mencatat kemenangan straight set dalam aksi suku akhir di Akademi Sepaktakraw Malaysia, hari ini.

Kedah Eagles terlebih dahulu mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik apabila menewaskan Malaysian University Knights 2-0 menerusi keputusan 15-13, 15-6.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah bangkit mempamerkan aksi lebih meyakinkan pada set kedua selepas terpaksa bekerja keras untuk mengatasi tentangan lawan dalam set pembukaan.

Gandingan Hapeesorn Hnahno selaku apit kanan, Amar Roslan di posisi tekong dan kapten pasukan, Zulhusni Basri, di apit kiri memainkan peranan penting dalam usaha Kedah memastikan kemenangan.

Kedah Eagles kini bakal berdepan Terengganu Eagles dalam aksi separuh akhir bagi merebut tiket ke final.

Sementara itu, Bomba Fighters turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Pahang Mammoth 2-0 dengan keputusan 15-11, 15-10.

Bomba mempamerkan permainan lebih tersusun untuk mengatasi Pahang, sekali gus menamatkan cabaran pasukan itu dalam saingan Divisyen 1 musim ini.

Kemenangan tersebut pastinya cukup bermakna buat Bomba Fighters yang kini semakin hampir merealisasikan hasrat untuk merebut tempat ke STL Premier.

Pahang Mammoth sebelum ini dilihat antara pasukan pilihan untuk kembali beraksi dalam STL Premier, namun kekalahan di peringkat suku akhir menyaksikan impian mereka tidak kesampaian musim ini.

Bomba Fighters kini dijadualkan bertemu Sabah Mountaineers dalam satu lagi aksi separuh akhir yang dijangka sengit, selepas Sabah terlebih dahulu menempah tempat menerusi kemenangan 2-0 ke atas Putrajaya Cyborg.

Dengan empat pasukan kini mengesahkan kemaraan, perhatian beralih kepada aksi separuh akhir yang bakal menentukan dua pasukan terbaik untuk berentap di pentas final STL 2026 Divisyen 1 dan menempah tiket ke STL Premier 2026.