Harimau Malaya menutup kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Kemenangan itu cukup istimewa buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila Malaysia akhirnya menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam sejak 2014, sekali gus mengakhiri kejohanan di tempat ketiga.

Cheng Hoe melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama apabila memilih untuk merehatkan Arif Aiman Hanapi dan Brad Tapp. Hong Wan, Ubaidullah Shamsul Fazili serta Harith Haiqal Adam Afkar diberikan kepercayaan untuk memulakan permainan.

Vietnam terlebih dahulu cuba menguasai permainan pada awal aksi menerusi beberapa gerakan Williams Minh Hoang, Nguyen Hai Long dan Khoa Ngo. Namun, pertahanan Malaysia yang diterajui Ubaidullah berjaya bertahan daripada tekanan tersebut.

Malaysia turut mempunyai peluang menerusi Bergson da Silva yang beberapa kali cuba mengancam gawang Vietnam dikawal Patrik Le Giang. Percubaan terbaik penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu hadir pada minit ke-35, namun berjaya dinafikan penjaga gol Vietnam.

Kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan sebelum rehat apabila keputusan 0-0 kekal selepas 45 minit permainan.

Cheng Hoe kemudian melakukan perubahan selepas rehat dengan memasukkan Syahmi Safari menggantikan Quentin Cheng sebelum Fergus Tierney dan Syahir Bashah turut dibawa masuk bagi menggantikan Bergson serta Hong Wan.

Pertukaran tersebut membuahkan hasil apabila Tierney muncul wira Harimau Malaya dengan meledakkan gol pembukaan pada minit ke-62 untuk memberikan Malaysia kelebihan 1-0.

Vietnam kemudian berpeluang menyamakan kedudukan selepas Harith Haiqal didakwa melakukan kekasaran dalam kotak penalti. Bagaimanapun, pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin, membatalkan keputusan penalti selepas meneliti semula insiden berkenaan menerusi VAR.

Vietnam terus melancarkan tekanan pada penghujung permainan, namun barisan pertahanan Malaysia kekal kental untuk memastikan kemenangan 1-0 dikekalkan sehingga wisel penamat. Kejayaan itu turut menyaksikan Harimau Malaya menamatkan kempen tanpa bolos dengan rekod 360 minit, selain menutup kejohanan dengan kemenangan bersejarah ke atas Vietnam.