BEKAS pemain pertahanan tengah Selangor FC, Yazan Al-Arab mendedahkan kesukarannya dalam meneruskan kehidupan selepas ditamatkan kontrak serta-merta daripada bermain di Liga Malaysia musim lepas.

Kontrak Al-Arab ditamatkan pada Oktober lalu susulan tindakan ganasnya terhadap pengadil yang mana dia turut dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM mengharamkan Yazan daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia selepas dia bertindak menyepak bahagian punggung pengadil dan meludah ke arah pengadil ketika suku akhir Piala Malaysia, September lalu.

“Ia adalah saat yang sukar bagi saya dalam perlawanan menentang Terengganu. Apabila perkara itu berlaku dengan saya, ia adalah saat yang sukar. Saya hidup selama tiga bulan dengan tidak bermain apa-apa permainan.

“Saya tidak bermain dengan mana-mana pasukan selepas insiden itu. Tolong saya, jika saya tidak dapat bermain lagi di Malaysia kerana saya sayangkan Malaysia dan saya sayang semua orang di Malaysia.

“Saya merindui peminat Malaysia dan terutamanya peminat Selangor kerana semua orang sentiasa menyokong kami dan sentiasa di belakang kami dan saya ingin mengucapkan tahniah untuk Selangor yang pergi ke Liga Juara-Juara Asia 2.

“Semoga mereka dapat melakukan sesuatu,” katanya ditemui media di Stadium Al Janoub pada Selasa.

Sementara itu, Yazan mempamerkan permainan bertenaga membantu negaranya, Jordan membelasah Malaysia 4-0 pada aksi pembukaan Kumpulan E.

Jordan yang berada di ranking ke-87 dunia kini mendahului kumpulan membuka gol menerusi dua jaringan masing-masing daripada Mahmoud Al-Mardi dan Musa Al-Taamari.

“Kami menghormati Malaysia, kami cuba menekan pada separuh masa pertama dan kami berjaya menjaringkan tiga gol.

“Pada separuh masa kedua kami cuba bermain dalam tekanan, dan berjaya menjaringkan gol lain serta mendapatkan tiga mata.

“Kami berada di puncak, dan perlu fokus pada perlawanan seterusnya untuk mara ke Pusingan 16,” ujarnya.