KOREA Selatan menamatkan kempen Piala Asia 2023 di tempat kedua selepas seri 3-3 bertemu Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub, Doha pada Khamis.
Juara edisi dua kali itu akan menunggu untuk melihat siapa yang mereka akan temui dalam Pusingan 16.
Ujar jurulatih Taegeuk Warriors, Juergen Klinsmann mereka bukan sengaja menduduki tempat kedua untuk mengelak pertembungan hebat dengan naib juara Kumpulan D Jepun.
Malah, dia juga amat marah dengan keputusan penuh ketika diikat skuad Asia Tenggara, Malaysia yang berada di ranking 130 dunia.
“Kami tidak mahu mengelak Jepun, pastinya bukan rancangan kami untuk melepaskan tiga gol hari ini. Kami mahu mara di tempat pertama, itu adalah matlamat kami.
“Malaysia bermain dengan penuh semangat dan anda perlu memberi pujian kepada mereka tetapi kami sepatutnya memenangi perlawanan ini,” kata Klinsmann kepada pemberita.
Bahrain menduduki tempat teratas hasil kemenangan 1-0 ke atas Jordan. Bahrain mengungguli Kumpulan E dengan enam mata, Korea Selatan menamatkan dengan lima mata.
Jordan menduduki tempat ketiga dengan empat mata dan turut mara sebagai salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga.