KEJATUHAN rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad, mendorong Persekutuan Bola Sepak Syria mengubah warna jersi dan logo pasukan kebangsaan daripada merah kepada hijau.
Pemberontak Syria berjaya menguasai ibu negara, Damsyik, tanpa tentangan pada Ahad selepas serangan kilat yang menyebabkan Assad melarikan diri ke Rusia. Kejayaan ini menamatkan perang saudara selama 13 tahun dan pemerintahan autokratik keluarganya selama enam dekad.
Susulan peristiwa tersebut, Persekutuan Bola Sepak Syria mengumumkan perubahan warna logo dan jersi rasmi pasukan kebangsaan lelaki.
“Jersi baharu pasukan kebangsaan kami,” menurut kenyataan persekutuan itu di Facebook, disertakan gambar beberapa pemain mengenakan jersi berwarna hijau.
“Perubahan bersejarah pertama dalam sejarah sukan Syria, bebas daripada nepotisme, pilih kasih dan rasuah,” tambah kenyataan itu.