PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memuji karakter yang dimiliki Arif Aiman yang membuktikan dia adalah pemain berpasukan dan tidak hanya bergantung kepada skil individunya ketika menang keatas Kuala Lumpur City dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, Arif Aiman meledak hatrik pada babak pertama yang cukup untuk memberikan JDT tiga mata penuh dan Bidoglio gembira kerana pemain paling bernilai itu bukan sahaja menjalankan tugasnya sebagai penyerang tetapi juga membantu ketika pasukan bertahan.
Jurulatih asal Argentina itu juga gembira dengan corak permainan keseluruhan pasukannya meskipun sedar bukan mudah untuk menembusi pertahanan lawan yang bermain secara defensif sepanjang perlawanan.
“Arif Aiman beraksi sangat baik dan dia menyunbang tiga gol yang sangat penting. Bukan itu sahaja, dia juga bermain sebagai satu pasukan dengan sentiasa turun membantu pertahanan sekiranya diperlukan dan ini sangat menggembirakan saya.
“JDT bermain baik menentang lawan yang bermain dengan corak bertahan dan berjaya mendapat tiga gol pada babak pertama. Babak kedua kami sukar menembusi pertahanan tetapi pemain tetap bermain dengan idea yang sama iaitu menyerang namun mereka sedar kita mempunyai kelebihan tiga gol.
“Saya berpuas hati dengan persembahan para pemain yang berjaya kekalkan intensiti permainan sepanjang 90 minit meskipun mengharungi jadual yang padat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Tiga jaringan Arif Aiman pada minit ke-12, 36 dan 42 memberikan kemenangan yang meletakkan JDT berkelebihan 14 mata di tangga teratas liga mengatasi Sabah FC selepas berakhir 15 perlawanan Liga Super musim ini.
Kini fokus mereka akan terarah kepada perlawanan suku akhir Piala Malaysia bertemu lawan yang sama dan Bidoglio yakin dia mempunyai skuad yang besar untuk melakukan penggiliran pemain.