PEMAIN sayap Selangor FC, Faisal Halim gembira selepas membuat debut ketika membantu Gergasi Merah meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara AFC 2 2024/25 semalam.

Pada aksi kedua Kumpulan H di Stadium MBPJ dimana Selangor menewaskan Cebu FC 1-0, Faisal dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-62.

Menurut Faisal, dia mendapat minit perlawanan paling lama sejak kembali beraksi pada Ogos lepas selepas insiden serangan asid pada Mei.

Faisal Halim melakukan debut di pentas kejohanan Asia dalam perlawanan semalam

“Alhamdulillah tiga mata untuk pasukan di laman sendiri dalam saingan ACL2, ia bukan satu perlawanan yang mudah. Apa-apa pun saya dapat minit perlawanan paling lama, ini adalah perlawanan pertama saya dapat minit yang lama.

“Sekarang hampir lima bulan (sejak serangan asid), saya akan terus maju langkah demi langkah untuk dapatkan prestasi (terbaik).

“Bagi saya (prestasi sekarang) belum cukup lagi, belum sampai masa untuk saya berpuas hati. Saya masih di tahap untuk cari kembali prestasi,” katanya selepas perlawanan semalam.

Pemain berusia 26 tahun itu mengakui puas dapat membuat penampilan di pentas kejohanan Asia setelah terlepas peluang bersama kelabnya sebelum ini, Terengganu FC pada musim lepas setelah berhijrah ke Selangor.

“Alhamdulillah kami bekerja keras untuk datang ke Asia, hari ini mimpi itu jadi kenyataan dapat bersama Selangor dan dapat merasai (saingan Asia). Tetapi ada banyak perlawanan lagi, kami perlu perbaiki apa yang kurang dan saya pun kena kerja keras.

“Intensiti tinggi, persaingan hebat, bukan satu perlawanan yang mudah, saya rasa bagus untuk saya sebenarnya. Kita bermain di tahap tinggi, saya mencari rentak dan mencari minit permainan dan akan maju langkah demi langkah,” tambahnya.