PEMAIN bek tengah Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni sudah kembali cergas untuk bermain.

Pemain pertahanan tengah berusia 26 tahun itu terpaksa diketepikan selama tiga minggu kerana mengalami kecederaan semasa menjalani latihan.

Kini, kelibatnya dapat dikesan selepas menyertai sesi latihan di bawah pemangku ketua jurulatih, Badrul Afzan yang menggantikan Tomislav Steinbruckner tempoh hari.

Menurut Shahrul, beliau tidak sabar untuk kembali beraksi menjelang aksi liga menentang PDRM FC pada malam ini.

“Pasukan PDRM FC sebuah pasukan yang susah diramal, mereka mempunyai barisan serangan berkualiti yang membuatkan kita perlu sentiasa berwaspada.

“Apa yang pasti, saya sudah tidak sabar untuk kembali beraksi dan memberikan segalanya untuk pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terengganu FC bakal bertemu PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin jam 9 malam ini.