PENYOKONG Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu memberikan tepukan kepada diri sendiri apabila berjaya mengisi setiap tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 (ACLE) menentang juara Republik Korea, Ulsan HD.
Rata-rata penyokong yang ditemui FLASH SUKAN di sekitar stadium nyata teruja dan menganggap aksi elit Asia ini membawa dua misi buat para peminat bola sepak tempatan yang hadir untuk menberikan sokongan.
Sekumpulan penyokong yang ditemui menjelaskan mereka bukan sahaja mahu memberikan sokongan pada buat Harimau Selatan tetapi juga mahu menyambut kehadiran semula mantap jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon yang kini menjadi pengendali Ulsan HD.

Penyokong-penyokong JDT yang hadir awal ke Stadium Sultan Ibrahim
“Sebagai penyokong Harimau Selatan saya rasa amat teruja menantikan perlawanan JDT menentang Ulsan HD ini dan juga sebagai penyokong Malaysia, kami mahu mengalu-alukan kedatangan semula Kim Pan-gon ke Malaysia.
“KPG bukanlah nama yang asing bagi peminat dan penyokong bolasepak Malaysia setelah apa yang dia lakukan buat Harimau Malaya hingga layak ke Piala Asia dan juga berjaya mengikat Republik Korea 3-3 ketika peringkat kumpulan di Qatar.
“Tetapi kali ini, dia perlu berhadapan dengan penyokong-penyokong tempatan yang sudah pasti mahu melihat JDT mengulangi pencapaian menewaskan Ulsan HD tiga kali dari empat pertemuan sebelum ini,” kata mereka.

Kehadiran semula Kim Pan-gon ke Malaysia jadi tarikan penyokong bola sepak tempatan
Anak-anak muda dari Kluang itu turut mengakui yang KPG kini semakin tertekan kerana Ulsan berada di tangga terbawah tanpa kemenangan selepas tiga perlawanan dan JDT pula pasti mahu mencatat tiga mata di laman sendiri.
“Semua tahu rekod JDT sangat baik bila berdepan Ulsan di Stadium Sultan Ibrahim dan KPG sudah pasti tertekan kerana mereka masih tanpa sebarang mata dan dia sendiri sedar JDT sangat kuat di sini dan ini sebenarnya adalah cabaran sebenar buatnya sejak kembali semula ke Malaysia,” jelas mereka.
Kehadiran penyokong yang ramai ke stadium sudah pasti akan memberikan semangat tambahan buat para pemain JDT seperti mana diakui ketua pasukan, Jordi Amat dan perlawanan hari ini pastinya akan menjadi satu lagi perlawanan elit yang epik.