Pengurus Arsenal, Mikel Arteta meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil yang membatalkan sepakan penalti pasukannya dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA menentang Atletico Madrid.
Dalam perlawanan yang berakhir 1-1 itu, pengadil Danny Makkelie pada awalnya memberikan penalti kepada Arsenal selepas Eberechi Eze dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Namun, keputusan tersebut dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), sekali gus menimbulkan persoalan daripada kem Arsenal.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta (Sumber Gambar: FB Arsenal)
Arteta berpandangan terdapat sentuhan jelas dalam insiden berkenaan dan mempersoalkan keputusan untuk menarik balik penalti tersebut.
“Saya sangat berang bagaimana penalti ke atas Eze boleh dibatalkan. Jika perlu menontonnya berkali-kali, itu sudah cukup membuktikan ia sepatutnya kekal sebagai penalti.
“Itu adalah gol yang boleh mengubah perjalanan musim. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui penalti yang diberikan kepada Atletico Madrid susulan bola terkena tangan Ben White adalah keputusan yang boleh diterima.
Sepakan penalti tersebut disempurnakan Julian Alvarez pada minit ke-56 untuk menyamakan kedudukan selepas Arsenal terlebih dahulu berada di depan.
“Seperti mana kami menerima penalti Ben White, situasi Eze juga adalah penalti yang jelas,” katanya.
Walaupun kecewa dengan keputusan pengadil, Arteta tetap memuji persembahan anak buahnya yang berjaya mengharungi tekanan di gelanggang lawan.
Beliau menegaskan peluang kedua-dua pasukan masih terbuka menjelang aksi timbal balik yang akan berlangsung di London.
Sumber Gambar: FB Arsenal