PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz percaya Harimau Selatan masih mampu mencapai mata maksimum seterusnya layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elite meskipun diikat Buriram United tanpa jaringan di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Muniz yang kehilangan gigi selepas disiku pemain lawan terpaksa diketepikan pada aksi seterusnya menentang Central Coast Mariners di Australia pada Februari 2025 kerana menerima kad kuning ketiga namun dia percaya rakan-rakan lain mampu mengambil tempatnya.
“Kad merah mengubah segalanya malam ini tetapi kami berjaya mengimbangi semula permainan selepas itu dan kami mempunyai peluang pada babak kedua namun tidak berjaya menghasilkan jaringan dan kami terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Muniz percaya JDT mampu layak ke peringkat 16 terbaik ACL Elite
“Saya dilayangkan kad kuning tanpa sebarang amaran dan kini digantung satu perlawanan tetapi saya tidak mahu memberikan komen mengenai pengadil kerana kami mempunyai skuad yang besar untuk menggantikan saya pada perlawanan akan datang.
“Kami seharusnya mendapat tiga mata dan masih berpeluang untuk layak namun kami perlu mendapatkan kemenangan di Australia dan jika berjaya kita semakin hampir layak ke peringkat seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Muniz turut berkongsi pendapat yang sama dengan rakan sepasukannya, Eddy Israfilov yang menyatakan kehadiran penyokong di stadium membantu para pemain beraksi lebih baik dan dia gembira dengan jumlah penyokong yang ramai.

Muniz bakal terlepas aksi bertemu Central Coast Mariners akibat penggantungan
“Penyokong sentiasa memenuhi stadium pada malam Elite Asia. Lebih dari 30 ribu yang hadir memberikan kami semangat kerana mereka umpama pemain ke-12 dan kami dapat merasainya dan terima kasih kepada semua penyokong,” jelasnya.
Selapas berakhir enam perlawanan, JDT mengumpul lapan mata dan menduduki tangga keenam Peringkat Liga Zon Timur dengan berbaki dua perlawanan yang akan berlangsung pada Februari 2025 di Australia dan Iskandar Puteri.