RENTETAN kemenangan sembilan perlawanan berturut-turut dilakar Terengganu FC (TFC) memberikan keyakinan pasukan itu untuk terus menuju ke aksi akhir TM Piala Malaysia musim ini.

Kini, kesinambungan cemerlang di Liga Super bakal diperagakan pula kempen pertandingan paling berprestij dalam negara.

Jelas ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain rekod kemenangan terdahulu dan terbaharu mengatasi Kedah Darul Aman FC mencerahkan peluang pasukan untuk mara ke peringkat akhir.

Dia juga berterima kasih kepada pemain yang sentiasa memberi mutu permainan terbaik sehingga membolehkan pasukan layak menyertai Piala AFC.

“Semua pemain telah banyak membantu pasukan…kita tengah berada dalam situasi yang baik dan ini saya rasa bangga dengan pemain, bukan senang nak cipta rekod menang sembilan perlawanan berturut-turut dan ia luar biasa,” katanya selepas perlawanan.

Menurut pengendali berusia 43 tahun itu, walaupun sedar terpaksa mengharungi musim 2022 penuh sukar namun pemain mempamerkan karektor pada tahap tertinggi dan mengikut arahan yang telah diberikan olehnya.

“Saya belum dapat apa-apa tawaran dari pihak pengurusan setakat ini walaupun saya bawa pasukan ke final Piala FA dan muncul naib Juara Liga Super 2022, saya tidak tahu lagi sebab dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku.

“Akhir sekali rezeki kita serah pada ALLAH SWT sahaja,” kata Nafuzi mengakui masih belum menerima tawaran daripada pengurusan TFC untuk terus mengendalikan pasukan pantai timur itu musim depan.