PERANCANGAN Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menubuhkan pasukan bola sepak wanita dijangka akan menjadi kenyataan satu hari nanti.

Ini susulan pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara terbuka bertanyakan mana-mana pemain wanita yang berminat bermain bersama JDT.

Tunku Ismail menjawab satu ciapan FLASH SUKAN mengenai seorang pemain bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sidhu yang mengharapkan kelab gergasi Liga Malaysia ini akan menubuhkan sebuah pasukan wanita JDT.

“Memang dalam perancangan. Ada sesiapa nak main untuk pasukan wanita JDT?.”

Dalam laporan FLASH SUKAN, Steffi memberitahu bahawa jenama JDT sangat sinonim dengan sebuah pasukan yang amat profesional dan kehadiran Harimau Selatan dan TMJ sendiri dalam bola sepak wanita dijangka dapat membantu meningkatkan tahap bola sepak wanita di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Harap TMJ dapat tubuhkan pasukan wanita JDT” – Steffi Sidhu

“Kita tahu JDT adalah satu pasukan yang sangat profesional dan luar biasa. Mungkin TMJ boleh menubuhkan pasukan bola sepak wanita pula dan kita akan berpeluang untuk meningkat selangkah demi selangkah.”

Malah sebelum ini, Tunku Ismail pernah mendedahkan mahu memiliki pasukan wanita di bawah pengendalian kelabnya sendiri sebagai kemajuan dalam dunia sukan.

Tunku Ismail menjelaskan perkara ini akan direalisasikan selepas kelab JDT mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi menampung dua pasukan bola sepak bagi mewakili negeri Johor.