PEMAIN import Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh, menunjukkan semangat juang tinggi dalam menjalani proses pemulihan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kaki kirinya.
Pemain tonggak Gergasi Merah itu mengalami kecederaan ketika perlawanan Liga Super 2024/25 menentang PDRM FC pada 19 Oktober 2024 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Kecederaan ini menjadi cabaran besar buat Noor, namun dia tetap optimis dan berdisiplin tinggi dalam proses pemulihan untuk kembali membantu pasukan dan negaranya, Jordan, di pentas antarabangsa.
Menurut pasukan perubatan Selangor FC, pemulihan ACL memakan masa enam hingga 12 bulan, bergantung kepada tahap kecederaan dan respons individu terhadap rawatan.
Noor kini telah memasuki bulan kedua proses pemulihannya, menunjukkan progres yang sangat memberangsangkan dengan mengikuti jadual yang dirangka oleh Jabatan Sains Sukan Selangor FC.
“Saya dapat merasakan keadaan diri saya bertambah baik dari hari ke hari. Kekuatan otot dan kestabilan saya semakin bertambah. Saya berharap dapat kembali ke tahap kecergasan penuh agar dapat beraksi di padang mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya menerusi laman rasmi Selangor FC
Dia juga menghargai sokongan yang diterima sepanjang tempoh sukar ini.
“Berjauhan dengan keluarga bukan mudah, tetapi sokongan daripada kelab, rakan sepasukan, dan orang sekeliling membuatkan saya terus bermotivasi tinggi. Saya berazam untuk kembali lebih kuat, menyumbang kejayaan kepada pasukan, dan membantu Jordan di Kelayakan Piala Dunia,” katanya yang juga pemilik jersi nombor lapan Merah Kuning.
Dengan semangat dan disiplin yang ditunjukkan, tidak mustahil Noor Al-Rawabdeh akan kembali ke padang dengan prestasi yang lebih cemerlang, demi kebanggaan Selangor FC dan Jordan.