PEMAIN skuasy negara, Aira Azman menghadiahkan diri sendiri sempena ulang tahun kelahirannya ke-21 dengan melangkah ke suku akhir kejohanan bertaraf Platinum PSA buat kali pertama, selepas menewaskan wakil Mesir, Zeina Mickawy di Qatar Classic.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Aira menyertai rakan senegara, S. Sivasangari ke kelompok lapan terbaik, pencapaian bersejarah apabila kali terakhir dua pemain wanita Malaysia mara ke suku akhir kejohanan utama PSA adalah pada Terbuka Britain 2015 menerusi Datuk Nicol David dan Delia Arnold.
Terdahulu di Kompleks Tenis dan Skuasy Antarabangsa Khalifa, Aira yang kini menghuni ranking ke-26 dunia menang 11-8, 11-7, 13-11 untuk mengatur pertemuan dengan pemain nombor lima dunia juga dari Mesir, Amina Orfi, manakala Sivasangari pula menewaskan pilihan Belgium, Nele Gilis dalam straight set bergaya.
“Ia penampilan pertama saya di kejohanan ini dan kali pertama layak ke suku akhir Platinum, jadi ia memberi banyak mata ranking selain melonjakkan keyakinan,” kata Aira selepas tamat aksi.
“Tambahan pula hari ini hari lahir saya, jadi sangat gembira kerana berjaya ke suku akhir. Saya ikut perancangan permainan dengan baik, cuma hilang fokus seketika sebelum bangkit semula untuk tamatkan perlawanan dalam tiga set,” katanya.
Aira mengakui, dia akan meraikan kejayaan itu bersama kakaknya, Aifa yang akan turun di pusingan kedua hari ini.
Aifa kini di ranking ke-40 dunia berdepan tigas getir memburu tiket ke suku akhir, apabila dijadual menentang pemain ke-20 dunia, Melissa Alves dari Perancis.