ISKANDAR Zulkarnain Zainuddin mengakui kepercayaan besar Kenneth Jonassen menjadi faktor utama dia kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jurulatih berusia 34 tahun itu menegaskan hubungan baik dengan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan itu memberi keyakinan untuknya menyahut cabaran baharu.

“Antara sebab utama adalah Kenneth, dia sendiri yang hubungi saya dan sentiasa beri kemas kini, itu buat saya rasa dihargai,” katanya.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin mendengar taklimat daripada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, mengetuai skuad Ireland sejak 2021 dengan pencapaian melayakkan dua pemain ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelantikan Iskandar diumumkan BAM pada 30 Jun lalu sebagai usaha memperkukuh struktur kejurulatihan skuad perseorangan negara.

Beliau memulakan tugas secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Kepulangannya dianggap langkah penting untuk menyuntik nafas baharu kepada barisan perseorangan wanita yang kini hanya bergantung kepada K Letshanaa dan Wong Ling Ching.

Sebagai pemain, Iskandar pernah membantu skuad negara raih gangsa Sukan Asia Incheon 2014 dan Piala Thomas 2016, selain naib juara Masters Malaysia 2016.