PENGANTUNGAN berat selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) meninggalkan kesan mendalam buat skuad Harimau Malaya. Hukuman itu bukan sahaja menjejaskan perancangan pasukan, malah turut menimbulkan rasa terkilan dalam kalangan rakan sepasukan yang berharap isu ini dapat segera diselesaikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagi penyerang kebangsaan dari Kuala Lumpur (KL) City, Paulo Josue, keputusan tersebut amat mengecewakan kerana menyifatkan tujuh pemain terbabit sebagai aset penting dalam misi skuad kebangsaan. Namun, beliau menegaskan perjuangan harus diteruskan walau tanpa kehadiran mereka.
“Sudah pasti saya sedih dengan nasib yang menimpa mereka sebagai seorang rakan. Kesemua mereka ini adalah pemain berkualiti dan juga rakan yang baik. Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera. Perjuangan mesti diteruskan, sama ada dengan mereka atau tanpa mereka,” jelas Josue selepas membantu KL City menewaskan Terengganu FC 1-0 menerusi gol penalti minit ke-83 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Josue ditemui selepas membantu KL City menewaskan Terengganu FC 1-0 menerusi gol penalti minit ke-83 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Josue turut berkongsi bahawa dirinya kini berada pada tahap kecergasan yang baik selepas pulih daripada kecederaan MCL, dan bersedia sepenuhnya untuk kembali menyumbang tenaga bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Nada yang sama disuarakan pemain tengah kebangsaan, Safawi Rasid, yang menegaskan bahawa hubungan erat dalam skuad Harimau Malaya tidak pernah terjejas biarpun berbeza latar belakang, sama ada pemain tempatan, warisan ataupun naturalisasi.
“Hubungan kami seperti sebuah keluarga, dan sudah tentu saya turut berasa sedih dengan hukuman yang perlu mereka lalui. Apa yang penting, saya sentiasa bersedia untuk kembali menggalas tanggungjawab dalam kesebelasan negara selepas ini,” ujar Safawi yang kini kembali menemukan sentuhan bersama KL City.

Safawi ditemui selepas perlawanan KL City menentang Terengganu FC yang berkesudahan kemenangan memihak The city Boys 1-0 menerusi gol penalti minit ke-83 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
FIFA pada 26 September lalu mengenakan hukuman keras dengan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta) terhadap FAM, selain setiap pemain terbabit turut dikenakan denda individu CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak itu mula berkuat kuasa sejurus keputusan diumumkan.
Tujuh pemain yang menerima nasib malang itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Situasi ini jelas memberi tamparan besar kepada Harimau Malaya, namun semangat juang pemain lain seperti Josue dan Safawi menjadi bukti bahawa skuad kebangsaan tetap bertekad mengharungi dua aksi kelayakan Piala Asia berdepan Laos padaa 9 dan 14 Oktober depan.