Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Akademi Bola Sepak DNA Faisal Halim di Mengkuang Titi, Pulau Pinang pada 26 Mei lalu sebagai usaha memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi negara.

Penubuhan akademi tersebut dilihat sebagai platform untuk mencungkil lebih ramai bakat muda selain membantu pembangunan pemain terutama di Pulau Pinang.

Menurut Anwar, akademi itu bukan sekadar pusat latihan bola sepak, malah berperanan membentuk disiplin, semangat juang serta keyakinan diri dalam kalangan generasi muda.

Beliau turut menegaskan masa depan sukan negara bergantung kepada usaha melahirkan pemain muda yang bukan sahaja berbakat, tetapi memiliki nilai kerja keras, adab dan iltizam tinggi.

Akademi berkenaan merupakan cetusan idea pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim yang kini menjadi antara tonggak utama Selangor FC dan skuad Malaysia.

Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey ketika ini berada di Thailand bersama Selangor bagi menghadapi aksi final kedua ASEAN Club Championship Shopee Cup menentang Buriram United F.C..

Penubuhan akademi itu juga dilihat sebagai langkah positif dalam memperluaskan pembangunan bakat muda bola sepak negara secara lebih sistematik dan berterusan.