SKUAD bola sepak Harimau Malaya yang hadir ke bumi Chiang Mai dilihat berpotensi mengejutkan Thailand meskipun lawan miliki ranking FIFA lebih baik.

Keputusan Kim Pan-gon menyenaraikan beberapa muka baharu bermula daripada penjaga gawang hingga ke barisan serangan menunjukkan falsafah tersendiri menjelang aksi di Stadium Ulang Tahun ke-700 pada Khamis.

Menurut pandangan jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, pasukan negara harus menguasai bahagian tengah dan menyekat gerakan pantas pemain Changseuk.

“Hampir semua link dari penjaga gol sampai ke penyerang boleh dikatakan menampilkan muka baharu terutama di sektor pertahanan (Khuzaimi Piee, Dion Cool, Azam Azmi dan di penjaga gol, Syihan Hazmi).

“Di tengah ada Mukhairi Ajmal, Azam Azih dan Brendan Gan manakala di depan Faizal Halim-Arif Aiman atau gandingan Sumareh-Akhyar Rashid dan Safawi.

“Pada saya, bahagian tengah Malaysia kali ini yang menggandingkan Azam, Mukhairi dan Brendan tidak akan efektif seperti Syamil Kutty, Akram Mahinan atau Gary Robert. Mereka perlukan waktu.

“Thailand walaupun nanti di Kejohanan AFF 2022 tanpa Chanathip Songkrasin tetap build up dan transisi mereka di bahagian tengah begitu cepat dan tepat.

“Saya percaya Pan-gon dan pasukan analisis pasti sudah tahu falsafah permainan Thailand,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Raja Isa yang kini mengendalikan kelab Liga Perdana di Bangladesh berpendapat peluang terbuka kepada kedua-dua pasukan untuk mara ke babak akhir.

“Peluang masih 50-50. Faktor fokus dan konsentrasi akan menentukan siapa bakal menang dan layak ke final.

“Kejohanan ini sangat penting buat Pan-gon dan barisan kejurulatihan untuk pastikan filosopi bermain dan DNA Malaysia yang berpengaruh untuk persiapan pusingan akhir Piala Asia tahun depan,” katanya memuji langkah berani ketua jurulatih negara dengan melakukan regeneration of players.

Dia juga tanpa ragu-ragu serta optimis Malaysia mampu kalahkan Thailand dengan bersyarat.

“Asalkan mampu kuasai atau menang di bahagian middle third Thailand. Ramalan saya 1-0 atau 2-1,” kata Raja Isa.