CABARAN Malaysia dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2026 diteruskan oleh tiga wakil yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir selepas mengharungi aksi pusingan kedua di Istora Senayan, semalam.

Daripada sembilan wakil negara yang beraksi pada pusingan kedua, hanya tiga pasangan berjaya mengesahkan tempat dalam kelompok lapan terbaik iaitu beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan aksi meyakinkan apabila menyingkirkan pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy dalam tempoh hanya 31 minit. Beregu profesional negara itu tidak berdepan banyak masalah sebelum mencatat kemenangan straight set 21-11, 21-13.

Turut mencuri tumpuan ialah Pearly-Thinaah yang meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan pasangan Chinese Taipei, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan.

Walaupun menerima tentangan sengit terutama pada penghujung kedua-dua set, beregu wanita nombor satu negara itu berjaya mengekalkan fokus untuk melakar kemenangan 21-18, 21-19 dan menempah tiket ke suku akhir.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon turut menghadiahkan kegembiraan buat kem Malaysia apabila menundukkan pasangan tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu di hadapan penyokong Indonesia.

Pengalaman pasangan suami isteri itu jelas menjadi pemisah apabila mereka mengawal permainan dengan baik sebelum menamatkan perlawanan menerusi kemenangan 21-15, 21-19.

Di peringkat suku akhir, Soon Huat-Shevon bakal berdepan cabaran lebih getir apabila dijadual menentang pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang merupakan pilihan keempat kejohanan.

Pearly-Thinaah pula dijangka membuat perhitungan dengan wakil Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara bagi merebut tempat ke separuh akhir.

Sze Fei-Nur Izzuddin pula akan bertemu pasangan India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun dalam usaha meneruskan kemaraan mereka di Jakarta.

Pertembungan itu turut membuka peluang kepada beregu negara berkenaan untuk membalas kekalahan yang dialami pasangan muda Malaysia, Aaron Tai-Kang Khai Xing yang tersingkir kepada gandingan India tersebut dalam aksi pusingan kedua.