MENTERI Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan penyaluran dana kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) hanya akan dipertimbangkan selepas badan induk itu kembali stabil dari segi pentadbiran dan pengurusan.

Menurutnya, kestabilan FAM perlu menjadi keutamaan ketika ini, terutama selepas badan itu dibelenggu isu tujuh pemain warisan serta proses rayuan yang masih berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dengan keputusan dijangka diketahui pada 26 Februari depan.

Selain itu, situasi FAM yang kini ketiadaan kepimpinan utama susulan peletakan jawatan beramai-ramai barisan Exco pada Januari lalu turut memberi kesan kepada keyakinan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Jadi, kita tangguh dulu penyaluran dana buat masa ini. Cuma dari segi latihan dan seumpamanya, ia masih berjalan secara bersama.

“Dan Majlis Sukan Negara akan memantau rapat isu ini sehingga keputusan CAS keluar, barulah kita lihat semula soal dana dan perancangan seterusnya,” katanya.

Taufiq menjelaskan, pendekatan berhati-hati itu diambil bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada pembangunan bola sepak akar umbi, tanpa terjejas oleh ketidaktentuan pengurusan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prapeluncuran Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan.