PEMAIN boling padang wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi mengakui berdepan sedikit rasa gugup menjelang penampilan di Kejohanan Boling Padang Asia 2026 di New Delhi, India, namun tetap bertekad memberikan persembahan terbaik.

Menurutnya, perasaan teruja tetap ada, namun fokus utama kini terarah kepada persiapan kerana masih belum mendapat gambaran jelas mengenai keadaan gelanggang di venue kejohanan.

“Asia kali ini lebih kepada fokus sebab kita belum dapat gambaran keadaan padang di sana, jadi ada rasa gugup sedikit,” katanya.

Aleena menjelaskan persiapan setakat ini berjalan lancar dan beliau yakin mampu menggalas cabaran bersama rakan sepasukan.

“Alhamdulillah, setakat ini persiapan cukup baik dan insya-Allah kami bersedia untuk menggalas cabaran di India,” katanya.

Beliau turut mengakui membawa nama Malaysia di pentas Asia hadir dengan tanggungjawab besar, terutama selepas pencapaian cemerlang skuad negara pada edisi lalu.

Katanya, tekanan itu hadir berikutan sasaran tinggi yang diletakkan oleh pihak persatuan selepas kejayaan sebelum ini.

“Memang ada tekanan kerana pencapaian tahun lepas sangat baik dan persatuan meletakkan sasaran tinggi kepada pasukan kali ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Aleena menegaskan beliau mahu kekal fokus terhadap corak permainan sendiri tanpa terlalu memikirkan faktor luaran seperti keadaan gelanggang.

“Saya mahu bermain dengan cantik walaupun kita tidak tahu keadaan padang. Jika permainan cantik, keputusan juga akan jadi baik,” katanya.

Pada kejohanan kali ini, Aleena akan beraksi dalam acara Women’s Triples bersama Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Emma Firyana Saroji, selain turut menyertai acara Women’s Fours bersama Ain Nabilah, Nurul Alyani Jamil dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman.

Sebagai rekod, Aleena membantu skuad negara meraih pingat emas acara berpasangan serta perak dalam Women’s Fours pada edisi 2025, sekali gus meningkatkan keyakinannya untuk menghadapi cabaran di pentas Asia kali ini.