Empat pasukan dilihat semakin berpeluang untuk layak ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing pada aksi hari pertama minggu kedua Netball Super League (NSL) 2022.
Pada perlawanan sebelah petang Jumaat, Siti Aminah Ahmad cemerlang membantu Selangor Angels membenam Melaka Mystic 61-39 untuk meletakkan Melaka semakin hampir tersingkir dari kejohanan ini.
Gandingan Maisarah Affandi dan Norashikin Zaman sekali lagi memacu Pahang Tulips untuk mencatat kemenangan ketiga kali ini menewaskan Kedah Sunshine 71-54 untuk kini berada di tangga keempat.

Pada aksi sebelah malam pula, juara bertahan, KL Wildcats mudah membenam Perak Phoenix 61-30 untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga.
Wildcats tidak dapat menjarakkan diri apabila diekori Johor Jewels yang juga menang mudah menewaskan Negeri Sembilan Venom 62-26 dengan GS Jewels, An Najwa Azizan berjaya mencatatkan 100% ketepatan balingan.

Berakhir empat perlawanan, Wildcats dan Jewels berkongsi dua tempat teratas dengan 12 mata manakala Angels dan Tulips masing-masing dengan sembilan mata.
Empat lagi perlawanan akan berlangsung pada Ahad dengan Johor Jewels bakal bertemu Melaka Mystic sebelum KL Wildcats menentang Kedah Sunshine sebelum Perak Phoenix berhadapan Pahang Tulips dan Negeri Sembilan Venom dan Selangor Angels bertarung pada aksi terakhir minggu kedua.