FIFA mengumumkan penganjuran kejohanan baharu dikenali sebagai Piala ASEAN FIFA, dengan edisi sulung dijadual berlangsung dari September hingga Oktober 2026.

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan media selepas mesyuarat Majlis FIFA yang berlangsung secara dalam talian di ibu pejabat badan induk bola sepak dunia itu di Zurich, Switzerland pada 20 Mac.

Menurut FIFA, majlis berkenaan telah meluluskan pengenalan kejohanan tersebut yang sebelum ini dibentangkan kepada pemimpin rantau Asia Tenggara pada Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia pada Oktober 2025 dan menerima maklum balas positif.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh FIFA awal pagi tadi.

Namun begitu, FIFA masih belum mendedahkan butiran lanjut mengenai format pertandingan, lokasi penganjuran atau jadual rasmi kejohanan tersebut.

Kejohanan baharu itu dijangka melibatkan kesemua 11 negara Asia Tenggara dan menjadi platform tambahan bagi meningkatkan tahap persaingan bola sepak di rantau ini.

Sebelum ini, pengumuman mengenai pembentukan kejohanan tersebut dibuat oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino selepas menandatangani memorandum persefahaman berkaitan pembangunan bola sepak ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Jika dirancang seperti dijadualkan, negara-negara Asia Tenggara berkemungkinan akan menghadapi jadual padat pada tahun 2026 apabila perlu menyertai dua kejohanan serantau dalam tempoh yang singkat

Ini kerana rantau tersebut turut akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak ASEAN atau dikenali sebagai Piala Hyundai ASEAN yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos 2026.

Kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) itu merupakan pertandingan bola sepak utama di Asia Tenggara sejak diperkenalkan pada 1996, dengan edisi 2026 bakal menjadi penganjuran kali ke-16.

Sementara itu, Piala ASEAN FIFA dijangka diadakan dalam jendela antarabangsa baharu FIFA yang diperluaskan bermula pada tahun 2026.