Kelantan Warriors dan PDRM Defenders mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Grand Prix (GP) Kuala Lumpur selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi suku akhir, hari ini.
Kelantan Warriors terlebih dahulu mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik apabila menewaskan Selangor Pistons 2-0 dalam aksi straight set di Stadium Titiwangsa.
Regu dari Kelantan itu mempamerkan penguasaan permainan apabila menang set pertama 15-6 sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan 15-13 pada set kedua.
Kemenangan itu menyaksikan Kelantan Warriors mara ke separuh akhir buat kali kedua musim ini dan bakal berdepan sama ada Perak Bison atau Negeri Sembilan Antlers bagi perebutan tiket ke final.
Sementara itu, PDRM Defenders turut mengesahkan kemaraan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Johor Tigris 2-1 dalam perlawanan penuh dramatik.
Johor Tigris terlebih dahulu memenangi set pembukaan 15-12, namun PDRM Defenders kembali menyamakan kedudukan selepas menguasai set kedua 15-10.
Momentum kebangkitan itu diteruskan pada set penentuan apabila PDRM Defenders mengekalkan ketenangan untuk menang 17-15 sekali gus menamatkan cabaran Johor Tigris.
PDRM Defenders kini akan menanti sama ada Melaka Titans atau ATM Guardians sebagai lawan di separuh akhir GP KL, dengan kedua-dua pasukan semakin hampir merebut tempat ke final.