MESYUARAT Agung Tahunan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Disember lalu, didakwa tidak sah.
Ini berikutan beberapa persatuan sukan yang bernaung di bawah payung badan induk persatuan sukan para negara terbabit, mendakwa berlaku perlanggaran perlembagaan dan akan membawa perkara itu kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Jika benar AGM itu tidak sah, bermakna kemenangan Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin boleh dianggap terbatal.
Peguam, Datuk Michael Wong yang mewakili persatuan berkenaan berkata, beliau menerima aduan mengenai terdapat perlanggaran perlembagaan pada pemilihan itu, sekali gus membuka ruang untuk mereka mencabar keabsahan kemenangan Megat itu.
Menurut beliau, satu laporan rasmi akan dihantar kepada PJS pada minggu hadapan.
“Saya diminta beberapa persatuan sukan untuk memfailkan pembatalan AGM MPM pada bulan lepas. Ada isu ketelusan dan prosedur dan ini akan dilakukan secepat mungkin dan akan difailkan kepada PJS.
“Bila saya sudah dapat kepastian dan menerima dokumen daripada mereka (dua persatuan), kita akan failkan pembatalan AGM pada minggu depan.
“Perkara ini merujuk kepada ketelusan dari segi prosedur pemilihan dan juga mengikut perlembagaan dan ternyata ia dibuat tanpa merujuk kepada perlembagaan (yang sah),” katanya, yang ditemui selepas membuat laporan di Balai polis Presint 7, Putrajaya, semalam.

Terdahulu, pada pemilihan AGM MPM sebelum ini menyaksikan Megat mempertahankan jawatan preiden selepas menewaskan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dengan undian 14-10.
Dalam undian yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Ahmad Shapawi dilihat gagal untuk merampas kedudukan nombor satu MPM sekali gus membolehkan Megat memegang jawatan Presiden MPM buat penggal kedua berturut-turut sejak 2019.