RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menegaskan beliau belum mempunyai perancangan untuk bersara dalam masa terdekat, sebaliknya mahu terus menyumbang kepada negara di pentas antarabangsa.
Atlet berusia 33 tahun itu kini sedang memberi tumpuan penuh untuk melayakkan diri ke Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memastikan prestasi berada pada tahap terbaik bagi menempah tempat ke temasya berkenaan.

Datuk Pandelela Rinong muncul juara acara 10 meter platform individu wanita dalam kejohanan Ujian Terjun Kebangsaan. (Sumber Gambar: FB Pandelela Rinong)
Dalam kejohanan Ujian Terjun Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, beliau membuktikan kemampuannya apabila muncul juara acara 10 meter platform individu wanita dengan jumlah 292.05 mata.
Lebih membanggakan, catatan itu turut melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS) yang ditetapkan, sekali gus mengukuhkan peluangnya untuk disenaraikan ke Sukan Asia.
Mengulas prestasinya, pemenang pingat Olimpik dua kali itu mengakui terjunan pertama merupakan cabaran terbesar, namun beliau berpuas hati dengan keseluruhan persembahan serta tahap kecergasan yang semakin baik.
Tempat kedua acara tersebut dimenangi oleh Nur Elisha Rania Muhammad Abrar dengan 283.15 mata, manakala Lee Yiat Qin melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 266.8 mata.
Pencapaian ini memberi petanda positif buat Pandelela dalam usahanya untuk terus kekal kompetitif dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Sumber Gambar: FB Pandelela Rinong