PERJALANAN Patrick Kluivert bersama skuad kebangsaan Indonesia berakhir secara rasmi selepas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan penamatan kontrak jurulatih dari Belanda itu, kurang setahun selepas beliau mengambil alih tugas sebagai pengendali utama Garuda.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden PSSI, Erick Thohir menerusi satu kenyataan di platform X (Twitter), yang mengesahkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk berpisah secara baik. Menurut Erick, keputusan itu dibuat dengan penuh rasa hormat selepas menilai prestasi dan hala tuju pasukan kebangsaan menjelang kempen baharu yang lebih mencabar.

 

“Terima kasih atas sumbangan yang telah diberikan oleh Coach Patrick Kluivert dan Pasukan Kejurulatihan selama hampir 12 bulan kepada PSSI & Pasukan Kebangsaan Indonesia,” tulis Erick, sambil menyifatkan Kluivert tetap menjadi sebahagian daripada perjalanan bersejarah bola sepak Indonesia.

Di bawah bimbingan bekas penyerang Barcelona itu, Indonesia mencipta sejarah mara ke pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 — pencapaian terbaik mereka dalam sejarah moden bola sepak negara tersebut. Namun, tekanan tinggi selepas beberapa keputusan hambar dalam aksi terakhir serta cabaran taktikal di pentas Asia dikatakan antara faktor yang mendorong kepada perubahan ini.

Erick turut mengucapkan penghargaan kepada penyokong, pemain, keluarga dan pegawai pasukan yang terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Merah Putih. Beliau menegaskan, PSSI kini akan melakukan penilaian semula secara menyeluruh bagi merangka semula sasaran jangka sederhana dan panjang.

Antara matlamat utama yang akan diberi tumpuan termasuk usaha menempatkan Indonesia dalam kelompok 100 terbaik dunia, Piala Asia 2027, dan seterusnya menembusi pentas Piala Dunia 2030.