Beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Yap Roy King meneruskan momentum cemerlang apabila muncul juara Masters Kumamoto selepas menewaskan pasangan berpengalaman Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam aksi final, hari ini.
Gandingan negara itu mempamerkan kebangkitan bertenaga selepas tewas set pertama sebelum melengkapkan kemenangan 16-21, 21-13, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 54 minit.
Kemenangan tersebut menyaksikan Aaron-Roy King meraih gelaran kedua sejak digandingkan, selepas terlebih dahulu menjuarai Terbuka Artik pada bulan lalu.
Lebih membanggakan, kejayaan di Jepun itu turut mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara gandingan yang semakin mendapat perhatian apabila berjaya menewaskan pasangan kelompok 10 terbaik dunia sebanyak tiga kali.
Menariknya, pencapaian itu hadir ketika mereka baru membuat penampilan kelima dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebelum ini, Aaron-Roy King turut mencatat kemenangan ke atas beregu Indonesia, Sabar Karyaman-Moh Reza Isfahani yang berada di ranking ketujuh dunia pada Terbuka Hylo bulan lalu.
Mereka kemudian meneruskan rentak tersebut di Kumamoto apabila menyingkirkan pasangan ranking kelima dunia dari Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebelum melangkah ke pentas final.
Kejayaan menewaskan Hoki-Kobayashi, yang pernah bergelar juara dunia, menjadi satu lagi pencapaian penting buat gandingan muda negara dalam perjalanan mereka membina nama di pentas antarabangsa.
Sebagai juara, Aaron-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (kira-kira RM159,300), manakala Hoki-Kobayashi menerima AS$19,000 (kira-kira RM77,600) sebagai naib juara.
Kemenangan itu pastinya menjadi suntikan keyakinan buat Aaron-Roy King untuk terus mencabar gandingan terbaik dunia dan membuktikan kemampuan mereka dalam kejohanan antarabangsa akan datang.