NASIB terus tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila sekali lagi terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.
Pemain berusia 24 tahun itu memulakan aksi dengan penuh semangat apabila berjaya memenangi set pertama 22-20 ke atas pemain Hong Kong, Ng Ka Long, namun impian untuk mara ke pusingan seterusnya tidak kesampaian.

Ng Tze Yong apabila sekali lagi terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi. FOTO|ASIANA.MY
Ketika sedang mendahului 4-3 di awal set kedua, Tze Yong dilihat mengalami kesakitan pada lutut kanannya sebelum membuat keputusan untuk menarik diri daripada meneruskan perlawanan.
Insiden itu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap kecergasan semasa pemain kelahiran Johor itu, memandangkan dia sebelum ini pernah berehat panjang akibat kecederaan serius.
Untuk rekod, Tze Yong pernah menjalani dua pembedahan susulan kecederaan belakang yang dialaminya ketika beraksi dalam Terbuka Malaysia Januari tahun lalu, menyebabkan dia terpaksa melupakan badminton selama hampir setahun.

Ng Tze Yong apabila sekali lagi terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi. FOTO|ASIANA.MY
Kecederaan terbaharu ini dilihat sebagai satu tamparan hebat terhadap usaha pemain muda itu untuk kembali berada di prestasi terbaik selepas bekerja keras sejak beberapa bulan lalu.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pasukan perubatan mengenai tahap serius kecederaan tersebut, namun ia dijangka memerlukan pemantauan lanjut dalam tempoh terdekat.