FINALIS Masters Malaysia 2023, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menafikan pencapaian mereka tahun lalu itu, sebagai ukuran tepat yang boleh membuatkan mereka selesa sehingga terlalu yakin mampu mencapai kejuaraan tahun ini.
Mungkin bimbang dibebani tekanan, Wei Chong-Kai Wun berjanji akan menampilkan aksi terbaik, sekali gus menebus kehampaan tahun lalu ketika mereka tewas kepada juara dunia dari Korea Selatan, Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae dengan keputusan 15-21, 24-22, 19-21.
“Bagi saya kami kena bersedia dengan secukup-cukupnya kerana tahun lalu kita telah melangkah ke final. Jadi, kami tidak fikir banyak sangat dan hanya ingin buat terbaik kerana kami juga telah melakukan persiapan lebih satu bulan bagi menghadapi kejohanan ini.
“Biarpun kejohanan ini tidak ramai pemain terbaik dunia hadir kerana memberi tumpuan ke Olimpik Paris tetapi ada lagi gandingan yang kuat. Jadi, kami tidak boleh pandang mudah dengan pemain yang ada ini. Kami perlu fokus pada perlawanan peringkat demi peringkat,” kata Wei Chong.
Dalam pada itu, Kai Wun mengakui enggan terlalu memikirkan undian pada kejohanan itu, sebaliknya hanya mahu bersedia menghadapi siapapun lawan pada kejohanan yang membuka tirai dari 21 hingga 26 Mei ini, di Axiata Arena, Bukit Jalil.
“Kami tidak memikirkan soal undian malah kami juga telah melakukan persiapan sebelum undian dikeluarkan lagi,” ujarnya.
Gandingan negara itu yang turun sebagai pilihan ketujuh akan berdepan gandingan dari Taiwan, Chiang Chien-Wei – Wu Hsuan-Yi di pusingan pertama.