BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, meneruskan langkah dalam saingan selepas menampilkan aksi meyakinkan untuk menewaskan pasangan Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci, dalam aksi pusingan 32.
Pearly-Thinaah yang juga pilihan kelima kejohanan tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan Turkiye itu menerusi kemenangan straight game 21-16, 21-13 dalam tempoh 34 minit.
Gandingan No. 5 dunia itu tampil kemas sejak awal permainan dengan mengawal tempo perlawanan sebelum memastikan kemenangan dua set untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Pearly-Thinaah terus menjadi sandaran utama Malaysia dalam acara beregu wanita, dengan pasangan itu kini semakin hampir untuk memburu kemaraan ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, satu lagi wakil beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, terpaksa menamatkan kempen selepas tewas kepada pilihan kedua dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
Xin Yee-Carmen bagaimanapun memberikan saingan sebelum akur 15-21, 15-21 dalam tempoh 45 minit kepada gandingan berstatus dunia No. 2 itu.
Dalam acara beregu campuran pula, pilihan ke-10 Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut memastikan kemaraan selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett, 21-15, 21-16 dalam masa 33 minit.
Kemenangan ‘straight game’ itu turut menyaksikan Soon Huat-Shevon mengekalkan rekod pertemuan sempurna 3-0 ke atas beregu Amerika tersebut, sekali gus meneruskan cabaran Malaysia dalam kejohanan ini.